Saturday, April 30, 2005

mytheory

mytheory

Bacalah (mengulang perkataan yang sudah ada )

Orang pandai berbicara dalam bahasa paling mudah. Orang perasan pandai akan berbicara dalam bahasa paling susah. Maka pandaikah profesor yang menerangkan ubat gigi itu sebagai sejenis bahan mengandungi bahan kimia berubat untuk membunuh kuman di dalam mulut serta bersesuaian dengan pH mulut. Ia juga dapat meneutralkan sifat alkali enzim amilase dalam mulut ?

Atau apabila seorang tua kampung mengatakan ubat gigi itu COLGATE maka dia telah melampaui batas komunikasi yang sebenarnya? Kerana memang pada kotak Colgate dapatlah kita baca segala macam kandungan ubat gigi itu dan dapat kita lihat pula tindakbalasnya.

Tidakkah metafora nya melampaui bahasa seorang 'ilmuwan'?

Kerana penjenamaan COLGATE menunjukkan besarnya pengaruh jenama kepada dunia (tak terasa siniskah apabila 'ubat gigi itu disamakan dengan Colgate?'. 'Bukankah ia sama saja macam orang bilang ' si bodoh itu lembu'? ). Tidakkah dengan memberikan suatu contoh kepada suatu persoalan maka dengan itu mudahlah semuanya faham? Ubat gigi itu Colgate dan ikan itu adalah haruan.

Jika yang dipersoalkan adalah ketepatan maksud suatu hal dengan contoh, misalnya 'ubat gigi' dan 'Colgate' , maka adakah definisi secara struktur ayat dan istilah sebegitu tepat dan jelas?

...............

"Bacalah! Dengan nama tuhanmu yang menciptakan"
Al-Alaq :1 dan 2.

Muhammad itu tidak tahu membaca. Maka apa baginda mahu baca?

"Bacalah" Kata Jibril.Tiga kali diulangnya dan kata Muhammad lagi : Aku tidak tahu membaca!

Lalu balas Jibril: Ulang dan ikut kata-kata aku.

.................

Bacalah! Maka bukankah apabila Jibril mengatakan 'ulang dan ikut kata-kataku', yang sebenarnya dia menyuruh manusia bercerita? Kerana cerita itu ulangan yang lepas, pedoman daripada yang sudah?

Kitakah yang sengaja mahu susah-susah?

Monday, April 25, 2005

mytheory

mytheory

Dakwah

Salah satu daripada kewajipan muslim adalah berdakwah, maka pernahkah anda berdakwah?

Dakwah secara ringkasnya adalah mengajak manusia ke arah kebaikan. Dan yang dinamakan baik itu adalah sesuatu yang dibenarkan dan disuruh dalam Islam. Maka dakwah itu kerjanya mudah, kerjanya senang dan boleh dilakukan bila-bila masa. Tapi berdakwahkah kita?

.................

Saya bukanlah orang apa-apa gerakan. Bukanlah orang apa-apa kumpulan. Saya ini pelajar. Saya ini muslim. Saya bekerja dengan JIM, dengan Mercy, dengan Unicef, dengan Research Centre, dengan kem atau dengan mana-mana saja parti politik adalah atas tiket membantu. Dan doa saya adalah perbuatan baik saya ini dapat diterima Allah sebagai satu usaha dakwah.

Dakwah zaman moden adalah kerja luah mati emak, telan mati bapak. Ia kerja serba-salah. Ia kerja penuh ragu-ragu, penuh dengan maslahat (kepentingan) dan amat senang sekali mengundang benci orang.

Mungkin sabda Muhammad s.a.w yang berbunyi:

"Islam itu dagang. Ia datang dalam keadaan dagang(asing) dan akan kembali menjadi dagang(asing) kembali" dapat menjelaskan sesuatu.

Kata orang, maka mereka-mereka yang berada dalam keterasingan itu adalah orang yang menang.

Soalan saya: Benarkah?

............

Islam adalah suatu cara hidup. Ia adalah suatu pautan dan simbiosis antara perbuatan. Islam tidak berdiri atas suatu dahan sahaja dan akan hidup sekadar pada cabang itu. Tidak.

Islam umpama pohon yang rendang. Ia ada akar, ada batang, ada dahan, ada daun, ada buah dan segala macam komponen lagi supaya ia sempurna. Kata orang tua-tua: Umpama pohon tidak berbuah. Ini untuk menggambarkan keadaan yang sia-sia.

Jalan dakwah umpama melihat pohon tidak berbuah. Manusia yang melihat daripada jauh akan merasakan ia sia-sia, tidak bermakna. Manusia yang berada dekat dengannya masih mengharap redupnya dan moga-moga satu hari nanti akan ada sekurang-kurangnya satu putik di pohon itu.

Inilah yang akan anda atau saya hadapi bila berdakwah. Mengajak yang tidak tahu tentang Islam kepada Islam yang sekarang umpama mengajak mereka ke arah pohon yang tidak berbuah. Awak, atau saya yang dekat dengan pohon itu, yang sibuk menjaga dan memeliharanya begitu optimis pada buah yang akan hadir. Kita sekalipun tiada buah, sudah cukup syukur dengan redup rendangnya atau adanya ia sebagai hiasan pada laluan itu.

Namun bagaimana pula dengan mereka? Jalan dunia, jalan material, jalan kapitalis atau apa sahaja label yang anda suka adalah pohon yang berbuah. Mereka nampak ia, mereka boleh petik ia, boleh rasa ia. KENAPA PULA MEREKA PERLU IKUT BERSAMA PADA POHON KITA?

.............

Iman adalah benar-benar percaya. Dan percaya itu letaknya dalam hati. Tiada siapa, bahkan nabi sendiri tidak berani melabelkan seseorang begitu atau begini. Adalah biasa bila kita berdakwah terutamanya pada yang muslim kita akan mengaitkan dengan iman. Namun itu soal hati, itu perihal diri, bagaimana mahu buat mereka rasa, bagaimana mahu buat mereka menghayati?

Lalu yang tinggal bagi sesetengah orang adalah sehabis hikmah. Ya tuhan, sungguh-sungguh kekadang saya ini keliru. Maka saya pohonkan pada Nya diberi kefahaman dan usah dilarikan daripada jalan yang benar.

Apatah lagi apabila awak ini pendatang. Awak ini datang kepada orang, awak ini orang luar. Awak ini dijemput untuk memenuhi kehendak mereka. Adakah dengan menghukum pada tasbih "haram, haram,haram" maka penuhlah hati-hati mereka dengan iman dan kembalilah mereka ke jalan yang benar?

Atas apa berdirinya iman, wahai teman? Atas kasih sayang, keselamatan atau takut pada tuhan? Percaya itu kerna takut atau percaya itu akibat kasih?

Jawapan anda menentukan jalan anda. Ingat,tiada yang salah. Kerana yang baik itu daripada Allah dan yang buruk itu jua hanyalah mampu terjadi dengan izinNya.

.........

Terkadang ia berbunyi terlalu membela diri. Mungkin kerana ego bahawa saya ini di jalan yang betul. Saya ini sudah buat sesuatu.

Saya tidak mampu katakan saya sudah cukup benar. Cumanya saya sudah elakkan jalan yang terang-terang salah. Dan saya tidak pula katakan bahawa cara orang lain tidak patut dan jalan sayalah yang paling patut. Tidak.

Cuma semua orang patut berdakwah dengan cara dan potensi diri. Semua orang MEMANG patut berani menegur kesalahan dan tidak hanya mendiamkan diri. Adalah tidak patut sesiapa sahaja berubah pendapat, berubah pegangan hanya kerana dia sedang menentang yang autoriti.

Mengajak pada kebaikan itu adalah satu kewajipan. Berbuahkah, tidak berbuahkah pohon itu, itu soal tuhan. Nak pergikah mereka, ingkarkah mereka, itupun soal tuhan. Jangan pula kerna alasan menjaga hati, luput iman dalam diri. Ingat, fundamentalis Islam adalah Muslim, sedangkan pegangan Islam Liberal itu langsung bukan Islam.

Yang pasti, apa yang saya usahakan adalah jalan paling lemah. LEMBUT. Mungkin kerana saya ini tidak cukup berani atau hati saya ini memang masih belum suci.

Saturday, April 23, 2005

Reallifegoeslikethis

reallifegoeslikethis

Lari


Saya sedang melarikan diri. Ke mana masih tak pasti. Cuma yang tahunya saya sedang melarikan diri.

Adalah biasa jika manusia melarikan diri tika perang. Ramai rakyat Vietnam ke negara lain apabila perang Amerika-Vietnam berlaku. Ramai juga rakyat Kemboja masuk Malaysia waktu perang. Ia normal. Dan begitulah yang terjadi pada saya. Sebab saya sedang 'berperang'.

Peperangan ini tidak melibatkan nuklear atau atom. Ia juga tidak melibatkan Apache atau B-2 Bomber. Tidak. Kerana ini peperangan jiwa, peperangan hati. Peperangan ini maha hebat juga, berdentam-dentum juga, cuma yang boleh dengarnya saya. Yang boleh merasainya saya.

........

Apabila sesuatu itu telah berlangsung terlalu lama, contohnya sketsa Pi mai Pi mai Tang tu atau Senario, ia akan jadi membosankan. Sudah hilang klimaks dan ia boleh diteka. Kalian pun mula hilang sabar dan tidak berminat lagi.

Bagaimana kalau hidup kita begitu? Bagaimana kalau anda, katakanlah: sudah 3 tahun dimomokkan dengan mati, dengan sakit, dengan ubat, dengan gagal periksa, dengan itu dan dengan ini?

Adakah kalian akan bosan?

Saya sejujurnya ya. Saya hidup selama ini semata-mata untuk terus hidup. Matlamat hidup saya adalah 'untuk hidup'. Saya bersyukur kerana saya sudah punya matlamat, sudah hidup tak umbang-ambing, tapi saya juga manusia. Saya tahu letih dan bosan.

.................

Masalah datang dan masalah pergi. Ia takkan berhenti. Sehingga hari ini, alhamdulillah saya masih tak putus asa menyelesaikan masalah. Adalah juga saya 'buat-buat tak nampak' dan 'cuba-cuba lari' namun saya bagaimanapun akan selesaikan masalah saya.

Namun lama-lama saya sudah jadi robot. Saya terlalu ideal, terlalu berkira, terlalu merancang dan terlalu takut untuk berperasaan. Perkataan 'terlalu' sudah cukup untuk menggambarkan bahawa saya sudah jadi ekstremis.

Saya tidak percayakan manusia kecuali diri saya sendiri. Itulah yang paling ikhlas boleh dikatakan. Pengalaman membuatkan saya pesimis terhadap manusia-manusia yang terlalu beremosi hingga tidak mampu menimbang baik-buruk hal dengan sempurna. Lalu saya jadi takut untuk bergantung hidup dengan orang, untuk berpasangan dengan orang dan untuk benar-benar berkongsi dengan manusia.

Kerana dibalik senyum itu sudah terlalu biasa ada niat tak terbaca.


.............

Doakan saya. Doakan saya akan terus kuat, tabah dan terus menjadi hamba Allah yang taat. Doakan saya tidak akan mengecewakan hati sesiapa pun apatah lagi hati ibu bapa saya.

Sesungguhnya saya benar-benar sedang berusaha.

Thursday, April 14, 2005

reallifegoeslikethis

Reallifegoeslikethis

Awak nak update. Tapi awak ni banyak kerja. Malas pula tu. Jadi tiba-tiba ada waktu lapang, awak taip la panjang-panjang. Awak rasa best gila pasal awak rasa entri ni memang dari hati awak.

Awak rasa hensem.

Tiba-tiba masa anda klik butang publish post, dia senang-senang saja keluar error. Please contact your system administrator. Awak tekan recover post pun tak jadi apa-apa.

Awak tensyen. Hilang yang dah ber page-page tu. Sia-sia je awak syok sendiri menaip. Sia-sia saja tersengih-sengih sorang diri depan komputer.

Ah, pergi mampuslah. Awak rasa nak merajuk. Esok-esoklah taip balik. Yang ni pun awak dah save dalam tiga format: word, dalam e-mail dan satu awak dah upload dalam server.

Kalau error jugak, memang sah CIA dah boleh detect awak kat mana. Lepas ni kalau awak nak menaip post baru, awak akan menaip dalam bahasa isyarat. Biar padan muka CIA, muka mereka-mereka yang baca dan muka awak sekali.

Monday, April 11, 2005

mytheory19

mytheory19

Balah kanak-kanak


Pernah tengok kanak-kanak berbalah?

Tentu pernah. Mustahil tidak pernah kerana awak juga pernah jadi kanak-kanak. Kalau pun awak ni tak nampak, awak sendiri mesti pernah berbalah.


Kanak-kanak suka berbalah tentang hal yang kita rasa remeh-temeh. "Apalah budak-budak. Tu pun nak berbalah. Tu pun nak tarik-tarik rambut. Kecik je. Biase je."

Memanglah. Pasal kita ini dah punya kereta tayar empat yang hari-hari paling kurang telan RM5(kalau itu Kancil 650 la, tapi apa main Kancil). Budak-budak apalah ada. Takat kereta mainan plastik. Dah la plastik, nak bergerak kena tolak pula. Apekebenda kenderaan yang nak kita pulak bawak die? Patutnye die lah bawak kite

Bagi kanak-kanak, tu je lah harta dia. Tu je la milik dia. Takkanlah dia nak balah pasal siapa boleh bertanding ADUN, atau siapa nak kena pimpin negara. Dia budak-budak, tiada tanggungjawab. Orang dewasa lain, dah besar. Banyak tanggungjawab, banyak nak fikir, hebat pula pertimbangannya.


Kalau budak-budak berbalah, mesti ada sorang yang menangis. Sorang menangis, sorang ketawa. Alahai. Berebut kereta mainan pun nak nangis-nangis. Koman betul budak-budak.


Tapi budak-budak berbalah tak lama. KEJAP JE. Nanti takde kawan nak main, takde orang nak dibuli, berbaiklah balik.

"Alah bang,biasa la. Saya gurau-gurau je"


Kanak-kanak bercakap dan bermaksud dengan kata-katanya. Memanglah kanak-kanak pun menipu. Budak-budak pun cakap benda tak betul juga. Tapi tipu budak-budak, 'tipu sunat' kata orang kita. Tipu pasal dia takde kuasa. Dia nak sesuatu tapi tak mampu.

Lagipun kanak-kanak tak berdendam.


..................................................


Kita yang dah tua-tua ni, yang hebat-hebat belaka, yang banyak pengalamannya, yang panjang akalnya, yang eh, segalanya best la, tentu tak berbalah macam kanak-kanak.

Koman.

Kita balah mesti nak panjang-panjang, nak bising-bising, nak libat segala sesuatu. Dah jadi semua salah. Habis budi diungkit, habis jahat dicela. Kita tak berbalah sebab nak pertahan hak. Bukan sebab tak mampu. Kita berbalah sebab nak yang lebih daripada hak. Nak sapu semua yang boleh disapu.

Tak apalah. Kita dah besar. Dah panjang. Dah cukuplah, serba-serbi. Dah tak payahlah orang nak tegur.

Cuma satu saja harapnya kita boleh contohi: berdamailah lepas berbalah.

Balah sebab pertikaian kerana satu topik. Satu hal. Janganla sampai musuh-musuh. Sampai masam-masam. Sampai dah hilang semua kebaikan. Kan kita dah DEWASA.

Budak-budak pun berbalah sebab 'benda itu aje'. Tiada nak dibalahkan yang dah lepas-lepas. Yang entah zaman paleolitik, mesolitik mana. Berebut kereta plastik, balah kereta plastik. Balah lori kerusi mainan, habis takat kerusi mainan. Tak ada nak berjangkit-jangkit. Takde nak ber team A atau team B. Takde nak ber 'aku-engkau' kalau sebelumnya ber'saya-awak'. Sebelum dan selepas sama.


Eh, kan kita manusia. Unik. Kalau dah semua sama, cakap yang sama, buat apa tuhan nak cipta sampai berbillion-billion. Buat sorang dah la. Yang ramai-ramai itu pasal nak suruh berkenal-kenalan. Bertukar-tukar pendapat.

Dia-dialah. Awak-awaklah. Yang baik sama muafakat, yang buruk sama jauhkan. Dan yang baik itu bukan satu jalan saja, ada berlambak-lambak.


TENGOK BUDAK-BUDAK. Contohi budak-budak. Balah, balah, balah. Nangis, ketawa, merajuk. Tapi kemudian senang-senang saja berbaik.

Tengok, siapa bilang kanak-kanak tak tahu apa itu DIPLOMASI?

Friday, April 01, 2005

mytheory18

mytheory18

Perbodohkan Diri: April fool


1 April terkenal dengan April Fool nya. Hari di mana kebodohan disambut dan memperbodohkan orang menjadi agenda. Hari yang mana jika anda tak memperbodohkan orang atau diri sendiri (sekurang-kurangnya), anda akan dipandang bodoh.

Saya tidak menulis ini untuk membuat lawak bodoh. Saya tidak menulis ini untuk mempermainkan sesiapa. Namun dalam tulisan ini, akan ada satu pihak yang akan dibodohkan. Tolong bezakan itu,ya. April Fool memperbodohkan orang dan saya pula membodohkan orang.

Ia tak sama. Memperbodohkan orang bererti membuatkan orang itu nampak bodoh dan merasa dia bodoh. Sedang membodohkan orang pula mengatakan orang bodoh, sedang dia sendiri mungkin langsung tak merasa bodoh. Memperbodohkan orang bagi saya adalah perbuatan mereka yang tidak yakin dengan diri sendiri dan langsung tak tahu menilai orang lain. Tidaklah perbuatan membodohkan orang itu mulia, tapi kekadang ia perlu untuk menyedarkan mereka yang lena dalam celik.

...........

Sejarah April Fool bermula dengan orang Moors. Siapa itu orang Moors? Orang Islam semacam saya dan awak juga. Bahkan pada waktu dulu, orang Moors itu secara umumnya dirujuk kepada orang Islam seluruhnya. Khususnya Moors itu adalah orang Islam yang tinggal di Sepanyol. Moors ini boleh jadi Arab, Eropah atau Russia. Ada tidak Melayu saya tidak pasti.

Tapi bukan maknanya tiada Melayu, bolehlah kita buat tidak hirau saja. Ini kisah sejarah, ini kisah manusia ditipu dan ditindas hidup-hidup. Ini kisah manusia dilayan macam binatang.

Tersebutlah oleh sejarah yang pada satu waktu itu, tentera Islam telah dikalahkan oleh tentera Kristian. Kemenangan ini telah disambut secara besar-besaran. Entah kenapa, tentera-tentera 'kemerdekaan Sepanyol' ini benci benar pada Islam. Dibakar masjid-masjid, bangunan berciri Islam dan segala macam lagi yang ada kaitan dengan orang islam. Kalau boleh, biar hilang semua jejak, biar tiada segala bukti.

Ketakutanlah masyarakat Islam waktu itu. Mujurlah mereka masih punya tempat kediaman untuk berlindung. Namun apabila nak berjemaah pun tidak boleh, nak azan pun tidak boleh, orang Islam sudah tidak tahan lagi. Biarlah mereka membawa diri ke tempat yang sesuai.

Lalu mereka mohon pada penguasa waktu itu untuk berhijrah dari tempat itu. Biarlah mereka ke tempat lain yang boleh mereka tinggal dengan aman. Selepas berhempas pulas, akhirnya bersetujulah penguasa untuk membenarkan mereka pergi.

Tapi, ya ada tapinya. Mereka hanya boleh keluar sehelai sepinggang. Harta benda semua wajib ditinggalkan di rumah. Mereka perlu keluar beramai-ramai dan sekaligus. Naik kapal bekas tentera Islam yang sudah banyak rosaknya. Dan mereka wajib tarikh untuk mereka keluar adalah pada 1 April.

Hari yang dinantikan sudah tiba. Berbondong-bondonglah keluar umat Islam daripada kediaman-kediaman mereka. Ditinggal segala harta dan keperluan. Malang buat mereka, apabila tiba di pelabuhan kebanyakan kapal sudah dibakar. Hendak berpatah kembali, dilihat berkepul-kepul asap daripada kawasan kediaman mereka. Semuanya dibakar. Semuanya dimusnah.

Mereka ditipu. Mereka dihina sehina-hinanya. Tatkala orang Islam melihat semuanya musnah dalam keadaan yang lemah dan pilu, tentera-tentera Sepanyol ini ketawa berdekah-dekah melihat mereka. Mereka ketawa sehingga tergolek-golek. Hingga keluar segala macam air mata, hingus. Kelakarnya!

Mereka tidak tahu apa sepatutnya mereka rasa. Mereka diperbodohkan. Mereka diberi harapan palsu. Mereka di fool kan.

................


Dan Mark Twain pernah berkata:

" The first of April is the day we remember what we are the other 364 days of the year"


Berbanggalah sesiapa yang menyambut April Fool, kerana mereka telah membuktikan siapa mereka sebenarnya.

Semakin bodoh, semakin terlampau lawak mereka, maka makin terpapar dan jelaslah betapa bodoh dan bangangnya mereka yang sebenarnya. Amat-amat sangat, dan kebodohan yang cuba disembunyikan itu akhirnya tersingkap juga. April Fool akhirnya menjadi satu sempadan antara mereka yang berakal dan mereka yang bodoh.

Bergembiralah kalian! Namun ingat, hanya syaitan sahaja yang gembira dengan menghina manusia.